Tuesday 30 January 2018

AMALAN RASUAH MELUMPUHKAN NEGARA.BAGAIMANAKAH ISU INI DITANGANI ?


   Pada alaf yang pesat dengan kemajuan sains dan teknologi,kita sebagai rakyat Malaysia pasti mendabik dada kerana negara kita sudah pun maju setapak ke hadapan dan mampu ‘berdiri sama tinggi,duduk sama rendah’ dengan negara-negara maju yang lain.Namun begitu,antara musuh terbesar negara,iaitu rasuah masih belum menemui titik penyelesaiannya.Amalan rasuah ini kian meningkat dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta yang berprofil tinggi,ahli politik,dan orang awam.Keadaan ini amat membimbangkan kita kerana jika dibiarkan,sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam.Oleh itu,semua pihak harus berusaha untuk membendung gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan.Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu,mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit.

   ‘Kalau tiada angin,masakan pokok boleh bergoyang’,demikianlah pepatah Melayu yang menunjukkan bahawa setiap perkara pasti mempunyai akibat dan langkahnya.Biasanya faktor perdana yang menyebabkan rasuah ialah kemerosotan integriti seperti budaya,kurangnya didikan agama dan sebagainya.Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini ?Lantaran itu,langkah-langkah yang efektif harus diambil dengan segera agar masalah ini dapat ditangani secara sistematik dan menyeluruh.Oleh itu,langkah pertama ialah penerapan agama dalam diri masyarakat terutamanya remaja.Remaja perlu dididik kerana apabila sudah dewasa,remaja pasti akan terdedah kepada gejala rasuah ini.Dengan ini,kita perlu memberikan didikan atau bimbingan yang sewajarnya kepada remaja terutamanya ibu bapa. ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.Pepatah ini boleh dijadikan pedoman untuk melahirkan generasi muda yang berpegang teguh kepada integriti dan membenci rasuah.Budaya yang baik dan juga membesar di persekitaran yang baik dapat melahirkan masa depan yang cerah untuk remaja.Ibu bapa merupakan contoh yang terbaik kepada anak-anak.Anak-anak yang mencontohi ibu bapa mereka akan melakukan kesalahan yang sama jika ibu bapa tidak menjadi teladan yang baik,bak kata pepatah ‘bapa borek anak rintik’.Dari aspek jenayah rasuah,apabila anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan kebendaan ini mula memegang jawatan dan mempunyai kuasa,mereka akan lebih cenderung megetepikan undang-undang semata-mata untuk mengaut keuntungan diri dan akan terjerat dalam rasuah.Justeru itu,ibu bapa akan melupakan tanggungjawab mereka dengan mengabai segala keperluan anak-anak.Oleh itu,kasih sayang dan perhatian yang secukupnya wajar diberi kepada anak-anak dan jangan hanya mengutamakan kebendaan daripada anak-anak.Jika tidak, anak-anak akan terjerumus dalam gejala sosial dan sekaligus kepada rasuah.

   Langkah yang seterusnya untuk mengatasi masalah rasuah ialah kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah kes rasuah yang semakin banyak dalam negara ini.Sebagai contoh,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) haruslah mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap sesiapa pegawai kerajaan dan pegawai swasta dan tidak terkecuali,orang awam yang terlibat dalam kes rasuah.Oleh itu,satu operasi dan evolusi yang sistematik dan terancang mestilah dirangka supaya dapat membantu menyiasat sesiapa pegawai kerajaan,swasta mahupun orang awam yang terlibat dalam musuh terbesar negara iaitu rasuah.Operasi-operasi yang dilaksanakan perlulah mendapat kerjasama dan galakan yang banyak daripada kerajaan dan rakyat jelata di Malaysia.Di samping itu,kerajaan perlu membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan,mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka.Rakyat kini masih beranggapan bahawa,masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak percaya rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini.Namun begitu,kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini di mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya.Sesungguhnya,tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih kasih akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah rasuah ini.

   Seterusnya,usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen.Kempen iklan yang dilancarkan dengan menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut.Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan tersebut mestilah berupaya  meninggalkan kesan atau masyarakat untuk berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah.Dengan ini,kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam memerangi amalan rasuah ini.Selain itu,kerajaan boleh melaksanakan kempen dengan bermula dari peringkat sekolah.Kerajaan boleh menganjurkan kempen pencegahan rasuah dengan mengundang penceramah atau pegawai-pegawai yang berpengalaman dari badan-badan pencegahan rasuah seperti SPRM,untuk memberi motivasi tentang definisi rasuah dan akibatnya.Dengan ini,benci akan rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi.Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab,amanah,dan ikhlas.Di samping mempunyai kesedaran,masyarakat atau belia akan mula membenci rasuah yang sering dikaitkan dengan istilah makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat.

    Tambahan pula,langkah yang paling efektif ialah semangat kerjasama yang wajar dipupuk sesama masyarakat.Masalah rasuah ini tidak akan dapat ditangani jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha mengatasi kes rasuah ini.Anggota masyarakat tidak boleh berpeluk tubuh  dan hanya memandang sebelah mata terhadap masalah ini.Masyarakat perlu berganding bahu dengan pihak polis dengan memberi maklumat tentang sebarang kejadian rasuah yang berlaku.Janganlah kita pula yang menerima rasuah tersebut tetapi sebaliknya.Jika kejadian rasuah sedang berlaku di depan mata,masyarakat perlulah melaporkan kes ini kepada pihak polis.Dengan ini,akan memudahkan kerja pihak polis untuk menangkap pengamal rasuah yang semakin berleluasa.Sesungguhnya,masalah ini dapat dibendung dengan adanya semangat kerjasama sesama kita.Bak kata pepatah Melayu,muafakat membawa berkat.Masalah rasuah yang semakin menjadi-jadi,jika dibiarkan akan menjadi duri dalam daging kepada masyarakat dan negara.Oleh itu,usaha-usaha memupuk nilai-nilai murni perlu ditanam dalam kalangan masyarakat,baik yang muda mahupun yang tua.Usaha-usaha sebegini sememangnya memakan masa yang sangat lama.Akan tetapi,ia perlu dimulakan dari sekarang jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara maju dan bebas daripada amalan rasuah menjelang 2020 nanti.

   Selain itu,kebanyakan pemimpin menyatakan bahawa mereka tidak akan lagi mengamalkan rasuah ini.Namun,apakah ia benar-benar akan dipraktikkan atau sekadar hanya perbualan di bibir sahaja.Sewajarnya,mereka sebagai pemimpin masyarakat haruslah menunjukkan sikap dan contoh yang baik agar dapat diteladani oleh rakyat terutamanya remaja.Remaja kini telah sedar bahawa mereka akan menjadi pewaris negara pada tahun akan datang.Apabila remaja sudah menjadi pemimpin,adakah remaja akan menjadi seperti pemimpin kini yang sering dikaitkan dengan amalan rasuah.Di samping itu,remaja kini pasti akan mencontohi pemimpin di negara kita.Oleh itu,pemimpin perlu menjadi tauladan yang terbaik untuk belia.Seterusnya, budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud, “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah s.w.t sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud, “ Allah s.w.t melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.Berdasarkan dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini.Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa yang bersuhabat melicinkan kegiatan rasuah ini.Dengan hadis ini,kita seharusnya mengambil iktibar daripada dalil yang telah dinyatakan dalam ayat tersebut.

   Konklusinya,semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk meningkatkan integriti,masyarakat dan negara dan seterusnya dalam membanteras gejala rasuah yang merupakan musuh terbesar Malaysia.Lagipun,pepatah Melayu ada menyebut, ranting sekerat masakan bisa menyokong berat.Denagn kata lain,janganlah kita menyerah bulat-bulat kepada pihak kerajaan.Begitu juga dengan masalah rasuah di negara kita,kita patut membantu pihak kerajaan,khususnya SPRM untuk membanteras amalan rasuah yang pernah dikatakan lebih buruk daripada pelacuran.Jika dibiarkan sahaja,amalan rasuah ini pasti akan melumpuhkan negara kita.Oleh itu,kita patut mengukuhkan integriti diri yang merupakan resepi penting untuk menghapuskan rasuah.Ayuh,rakyat Malaysia sama-samalah kita bersama YAB Perdana Menteri membawa negara kita ke mercu kegemilangan tanpa rasuah,dan “KATAKAN ‘TIDAK’ KEPADA RASUAH”,dan kita pasti akan menjadi modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

                                                                                     (1213 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment