Tuesday 30 January 2018

Artikel Peperangan senjata Kimia


     Peperangan pada masa kini banyak melibatkan pelbagai jenis sistem persenjataan. Antara senjata yang paling banyak digunakan di dalam perang moden ialah senjata pemusnah besar-besaran yang menggunakan kuasa nuklear atau juga dikenali dengan bom atom, senjata kimia dan senjata biologi. Baru-baru ini di Gaza, Palestin kita dikejutkan dengan kehadiran tentera laknat Zionis Israel yang dilaporkan menggunakan senjata kimia yang mengandungi fosforus di dalam peluru berpandu mereka yang akan memberi kesan jangka panjang ke atas penduduk islam Palestin. 

     Sejenis senjata pemusnah besar-besaran yang digunakan sejak Perang Teluk Pertama di Iraq dahulu ialah senjata yang diperbuat daripada sisa nuklear yang dikenali sebagai Depleted Uranium (DU) Senjata yang dihasilkan daripada depleted uranium menjadi ancaman di dalam perang pada masa kini. Apabila senjata ini meledak, pencemaran zarah-zarah ledakan bersaiz nano ini akan mengisi ruang udara sebelum jatuh ke bumi dan sistem perairan di mana ia akan merebak ke dalam rantaian makanan benda hidup termasuk manusia. Perkara ini amat ditakuti oleh mangsa-mangsa perang dan memberi kesan penderitaan mendalam kepada mangsa termasuk veteran Perang Teluk seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO. 

   Artikel ini cuba membincangkan bahaya depleted uranium dan Sindrom Perang Teluk.Simptom-simptom Sindrom Perang Teluk (Gulf War Syndrome) sangat aneh dan pelbagai bentuk bermula dari ketidakstabilan sistem keimunan tubuh dan penyakit saraf sehinggalah kepada kecacatan bayi yang baru lahir. Gejala yang timbul sukar dikelompokkan kepada satu kumpulan penyakit untuk ditentukan penyebab utamanya. Menurut istilah perubatan ia dikenali dengan nama Sindrom Perang Teluk sempena mengambil nama penyakit tersebut yang dikesan selepas berlakunya Perang Teluk Pertama di Iraq pada tahun 1990-1991 dahulu.

 Sisa-sisa radioaktif senjata yang diperbuat daripada depleted uranium yang diperkenalkan pertama kali dalam Perang Teluk Pertama sering dikaitkan dengan peningkatan tanda-tanda penyakit ganjil yang menghantui veteran Perang Teluk. Selain Perang Teluk pertama, ia juga digunakan dengan meluas dalam perang diRantau Balkan. Yang dimaksudkan dengan depleted uranium ialah unsur uranium yang mempunyai kekuatanisotop U-235 yang lebih rendah daripada uranium semulajadi. DU merupakan hasil sampingan (by-product) dari proses pengayaan uranium. Proses pengayaan uranium ialah suatu proses utama dalam menghasilkan senjata nuklear. Walaupun tahap keradioaktifan DU ini adalah rendah dan dianggarkan sekitar 40% lebih rendah daripada unsur uranium semulajadi, tetapi sifat toksiknya sangat tinggi. Apabila terjadinya ledakan senjata yang diperbuat daripada DU ini, partikel mikro dan nano akan terawang-awangan di udara seperti debu di mana ia akan disedut ke dalam sistem pernafasan manusia dan haiwan, jatuh ke tumbuh-tumbuhan, sayuran dan air yang juga akan digunakan semula oleh manusia di dalam rantaian makanan. 

  Dr Antonietta Gatti dari University Modena Itali merupakan ketua penyelidikan di Makmal Biomaterial di universiti tersebut yang telah mengemukakan bukti kukuh kewujudan partikel mikro dan nano yang terhasil dari DU ke atas tisu badan manusia. Beliau menggunakan teknik terkini teknologi Mikroskop Imbasan Elektron (SEM) dalam menganalisis sampel ujikajiannya dalam mengenal pasti partikel DU. Salah satu kaedah eksperimen di makmal mengesan sisa-sisa DU ini ialah dengan menggunakan sampel-sampel runtuhan bangunan di tempat berlakunya ledakan bom dan juga sampel dari anggota badan veteran perang. Sampel-sampel ini kemudiannya dicampurkan dengan tisu paru-paru yang diletakkan dalam satu tempoh tertentu. Selepas beberapa jam campuran sampel tersebut  dianalisa di bawah mikroskop imbasan elektron. Hasil yang mengejutkan didapati terdapat partikel-partikel logam bersaiz mikro dan nano terkumpul di sampel organ paru-paru. Menurut Dr Antonietta, partikel halus tersebut boleh merebak ke organ badan yang lain seperti hati, limfa, buah pinggang dan otak. Selain itu partikel logam daripada DU ini juga akan kekal di dalam sel darah dan merebak ke sel-sel saraf serta memasuki sistem pembiakan manusia.

   Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, angka pesakit leukimia dan kecacatan sejak lahir meningkat secara drastik di kota-kota yang pernah digugurkan senjata menggunakan depleted uranium ini seperti di Kota Basra, Iraq dan Bosnia-Herzegovina selepas perang. Bukti-bukti ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan dan pengalaman bekas-bekas tentera yang pernah berkhidmat semasa Perang Teluk yang mengalami penyakit kronik yang sukar diubati, hilang daya ingatan dan keletihan melampau. Veteran perang dari Itali yang pernah berkhidmat di Bosnia juga melaporkan perkara yang sama. Walaupun tidak menggunakan sepenuhnya unsur nuklear di dalam pembuatan senjata yang digunakan di dalam perang pada hari ini, bahaya penggunaandepleted uranium memberi kesan yang sangat berbahaya kepada mangsa perang dan tentera terlibat. 

   Usaha-usaha kini sedang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO dan badan-badan dunia bagi mendesak kuasa-kuasa tentera dunia supaya menghentikan penggunaan bahan depleted uranium selain menentang pembinaan senjata nuklear yang jelas membawa padah kepada generasi manusia dan kehidupan di dunia pada hari ini. 
Artikel ini pernah tersiar di Majalah Milenia Muslim Jun 2009. Penulis kini menetap di Montreal Kanada.


No comments:

Post a Comment