Seiring dengan pembangunan pesat yang
dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa dahulu, negara kita telah
menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju ke Wawasan 2020
yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam dan alam sekitar telah
berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik belakangan ini
bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi.
Masalah sosial tersebut tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan isu
tersebut berkait rapat dengan kesihatan rakyat negara ini. Sebab-sebab
berlakunya pengabaian kebersihan awam dan alam sekitar hendaklah dikenal pasti
supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil demi kesejahteraan hidup
sejagat. Sayugia diingatkan bahawa masalah kebersihan awam dan alam sekitar
dapat mendatangkan kesan buruk yang tidak diingini terhadap kesihatan rakyat.
Secara keseluruhannya, langkah-langkah yang proaktif dan efektif harus
diberikan penekanan dalam usaha mengatasi masalah tersebut. Oleh itu, semua
pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk
sebelah tangan takkan berbunyi.
Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan
dalam memastikan kebersihan awam dan alam sekitar terjamin. Ibu bapa haruslah
menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku
sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah penganutnya daripada
melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya
didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam
atau kebersihan alam sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa harus
menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di mana
jua berada kerana tingkah laku mereka akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak
mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Ibu bapa tidak seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya
berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Misalannya, ibu bapa
haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan menggunakan tandas awam
dengan baik. Dengan ini, anak-anak yang masih berumur setahun jagung
dan berdarah setampuk pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa
mereka dan akan dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah
bisa tegal biasa. Jadi, didikan ibu bapa amat penting dalam memastikan
kebersihan tempat awam dan alam sekitar terpelihara.
Selain itu, guru juga memainkan peranan yang
penting dalam memupuk nilai kebersihan dalam sanubari para pelajar. Pendidikan
Moral dan Pendidikan Agama yang menekankan pembentukan insan yang
berkeperibadian mulia dan murni telah diterapkan dalam sistem pendidikan negara
kita. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan mengamalkan nilai
kebersihan dalam hidup terutamanya yang melibatkan kemaslahatan umum seperti
tandas awam dan kawasan rekreasi. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan
obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan
melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka.
Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek kebersihan di dalam
kelas dan di kawasan sekolah di samping menekankan kepentingan penjagaan
kebersihan alam sekitar dengan melarang murid daripada membuang sampah di
merata-rata tempat. Konsep bersih ini diperluas bukan sahaja di dalam kelas
tetapi kepada kehidupan yang lebih menyeluruh. Pihak sekolah dan guru boleh
membina taman mini dan landskap supaya keadaan sekolah lebih cantik dan
hijau. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu
diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan
berkesan supaya obejektif yang dirancang tidak tersasar. Langkah yang
dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat mendidik generasi muda
kita tentang kemaslahatan amalan kebersihan.
Peranan media massa juga tidak dapat
diketepikan memandangkan media massa seperti radio, televisyen dan suratkhabar
mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan sehari-hari. Rancangan dan
program yang dapat menyemaikan sikap rakyat menjaga kebersihan awam harus
disiarkan melalui saluran media bercetak dan media elektronik dari semasa ke
semasa untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap
kesihatan masyarakat. Kempen-kempen kebersihan awam
seperti Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara Bersih Sihat patut
digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran sivik masyarakat negara
ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak
media massa perlulah berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi
ayam. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga
kebersihan alam sekitar dan tempat awam. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah
ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar dan
tempat awam senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat
mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam
sekitar.
Dalam
pada itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan
dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang 1974 bagi
mengatasi masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhi ke
atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Denda wang
ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat negara ini
berubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam
masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan
hukuman yang lebih tegas. Misalannya, negara Singapura telah mengusulkan banyak
cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antaranya
ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok
ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi di tempat
kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas. Bagi menjaga maruah diri
supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai, mereka yang bersalah sudah
tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka,
tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar Raya yang terkenal
dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi ketegasan undang-undang
negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan. Sesungguhnya ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang
menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan
Secara
tuntasnya, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen
daripada pelbagai pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik
terhadap kebersihan awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun
Doktor Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap
sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah
melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah
sarap yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya
mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari.
Kebersihan tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk
menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang
hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air
yang bermikroorganisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama
kita mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi
kesejahteraan hidup pada hari muka!
No comments:
Post a Comment