Sekali pandang, semut adalah sejenis makhluk
kecil yang tidak memberikan apa-apa manfaat dalam kehidupan manusia. Namun
begitu, makhluk kecil ini mendapat perhatian istimewa dalam agama islam
sehinggakan di dalam kitab suci Al Quran sendiri ada suatu surah khas yang
dinamakan semut iaitu Surah Al-Naml. Kehidupan semut juga agak unik. Bayangkan bagaimana beribu-ribu
ekor semut di dalam koloni mereka dapat mengenali antara satu sama lain.
Pernahkah kita memerhatikan pergerakan semut sewaktu ia berjalan dan berjumpa semut
lain. Semut-semut seakan-akan
bercium atau bersentuhan antara satu sama lain. Seolah-olah mereka kenal antara
satu dengan yang lain di dalam sebuah kumpulan semut yang berjumlah puluhan
ribu pada satu-satu masa.
Ahli kimia dan biologi
telah bergabung untuk merungkai misteri dan rahsia di sebalik keunikan serangga
jenis semut ini yang tidak dipecahkan sejak berabad-abad lamanya. Saintis kimia
dan biologi berusaha untuk menemukan sejenis sebatian kimia yang tersimpan di
dalam jasad semut yang membolehkan mereka berinteraksi, kehidupan mereka yang
tersusun, teratur, tekun dan juga berdisiplin dalam menjalankan kehidupan
sebagai seekor semut di alam ini.
Saintis di Eropah dan
Finland telah membuat kesimpulan awal bahawa sejenis semut yang dikenali sebagaiFormica
Exsecta memiliki sebatian kimia
campuran alkena dan komposisi setiap sebatian kimia jenis alkena tersebut
adalah unik dan berbeza antara satu dengan yang lain. Kajian awal tentang
tingkah laku semut yang dijalankan menunjukkan bahawa, perubahan kecil yang
dilakukan ke atas komposisi sebatian kimia yang dimiliki oleh semut akan
memberikan reaksi dan tingkahlaku berbeza bagi setiap semut tersebut.
Menurut Stephen Martin
dari Universiti Sheffield United Kingdom, mekanisme komunikasi dan interaksi
antara beberapa koloni semut dalam kategori atau spesis yang berlainan adalah
satu fenomena unik yang cuba dikaji oleh saintis. Kumpuan penyelidik yang
diketuai oleh beliau memulakan penelitian dengan melihat tingkahlaku
semut-semut dari satu koloni yang sama dengan meletakkan telur-telur mereka di
dalam sarang koloni semut yang lain. Mereka ingin mengkaji mengapa situasi
tersebut berlaku.
Selain itu, satu lagi
fenomena yang cuba untuk difahami oleh saintis ialah tentang bagaimana
semut-semut ini mampu mengenali ribuan semut lain di dalam sarang dan koloni
mereka, namun akan mula bertindak agresif dan menyerang kumpulan semut yang
datang dari koloni lain. Hipotesis awal menunjukkan sebatian kimia yang ada
pada semut ini mempengaruhi setiap tindak tanduk semut.
Semut yang dipilih untuk
kajian ini ialah jenis Formica. Execta yang merupakan spesis
terbaik untuk mengkaji komposisi kimia yang dimiliki oleh koloni semut bagi
memecahkan rahsia komunikasi serangga ini menurut Profesor Stephen Martin.
Spesis F.Execta menghasilkan sebatian campuran kimia alkana dan alkena, dan
untuk mengetahui rahsia ini semut merupakan serangga yang paling baik untuk
tujuan tersebut.
Seorang lagi saintis
kimia dari Universiti Keele, United Kingdom iaitu Profesor Falko Drijfthout
menggunakanGas Chromatography Mass Spectrometry untuk mempelajari profil
alkena yang terhasil dari setiap koloni semut. Dalam kajian beliau, Drijthouft
menemui dalam satu koloni, profil alkena hampir sama dengan semua semut yang
lain yang menunjukkan bahawa mereka menggunakan hanya alkena dan bukan alkana
untuk melihat koloni musuh yang cuba menyusup masuk ke dalam koloni mereka.
Salah satu kaedah ujikaji
yang dijalankan ialah dengan mencelup semut yang diambil dari satu koloni ke
dalam bahan kimia heksana iaitu sejenis pelarut universal untuk memecahkan
komposisi bau berasaskan alkena yang sedia ada pada badan semut tersebut.
Selepas dineutralkan menggunakan heksana, semut tadi kemudiannya direndam pula
ke dalam alkena dan diletakkan semula ke dalam koloninya yang sama. Dari
pemerhatian pengkaji, semut tadi kemudiannya terus diserang oleh semut-semut
lain walaupun ia datang dari kumpulan atau koloni yang sama. Ujikaji lain pula
dilakukan dengan menggunakan alkena-alkena jenis berlainan untuk koloni semut
yang sama dan keputusan jelas menunjukkan sebatian kimia alkena yang berbeza
akan membuatkan kumpulan semut ini tidak dapat mengenali ahli koloni mereka
sesama sendiri.
Menurut Martin, penemuan
awal kajian ini adalah sangat penting bagi kumpulan saintis dalam mempelajari
biologi dan kimia koloni serangga yang telah mengkaji tentang keunikan
kehidupan semut. Ia seolah-olah memberikan satu penanda atau kod-kod tertentu
kepada semut dalam berkomunikasi dan interaksi sesama mereka. Penemuan sebatian
kimia jenis alkena di dalam semut mungkin boleh diaplikasi dalam penciptaan
teknologi terkini sistem pengecaman yang semakin hari semakin kompleks.
Teknologi sistem pengecaman manusia umpamanya menjadi semakin penting apabila
saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita penjenayah yang gagal dikesan
dengan teknologi yang sedia ada. Kemungkinan penyelidikan Profesor Stephen
Martin dan Falko Drijfthout tentang komposisi kimia di dalam serangga semut
dapat dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku
dalam dunia sains dan penyelidikan.
No comments:
Post a Comment